Polis KL anjur KL Cops Night Ride

Azmi (depan, tiga dari kanan) merasmikan program KL Cops Night Ride pada Selasa.
Azmi (depan, tiga dari kanan) merasmikan program KL Cops Night Ride pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan menganjurkan KL Cops Night Ride sempena Hari Polis ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 18 Mac ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, program kayuhan basikal itu dijangka bermula jam 9 malam membabitkan 21.6 kilometer.

"Laluan kayuhan itu bermula di IPK Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah-Jalan Pudu-Jalan Raja Laut-Chowkit-Jalan Raya Muda-Jalan Semarak-Jalan Ampang-KLCC-Jalan P Ramlee-Jalan Pinang-Jalan Conlay-IPK Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program itu, di sini, pada Selasa.

Azmi berkata, penyertaan program itu sudah dibuka sejak 12 Januari lalu dihadkan kepada 2,160 peserta sahaja sebagai simbolik sambutan Hari Polis ke-216.

"Program itu adalah antara inisiatif polis untuk mendekati masyarakat bertepatan dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

"Program ini pastinya dapat memberi pengalaman manis kepada peserta dengan menikmati kemeriahan suasana di sekitar ibu kota," ujarnya.

Azmi berkata, pihaknya berharap masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur supaya mengambil peluang ini bagi mendekati barisan kepimpinan Polis Kuala Lumpur.

"Tarikh akhir pendaftaran adalah pada 3 Mac ini dengan yuran pendaftaran sebanyak RM60.

"Orang ramai yang mahu mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh melayari laman sesawang https://cps4.me/klcopsnightride,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!