Shaiful Hazizy sah tanding jawatan MKT UMNO
ALOR SETAR - Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menawarkan diri untuk bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan UMNO 2023-2026.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok itu mengesahkan telah menyerahkan borang pendaftaran pencalonan pada Khamis.
Menurutnya, keputusan itu dibuat untuk memberi pilihan kepada akar umbi memilih kepimpinan parti selepas parti itu dilanda beberapa isu kontroversi.
“Saya menawarkan diri untuk memberi opsyen baharu kepada UMNO, kepimpinan yang lebih muda dan berpengalaman.
“Saya telah melalui pelbagai proses dalam parti dan pada masa sama tetap setia kepada UMNO di saat-saat mencabar dan dalam waktu sukar,” katanya di sini pada Selasa.
Shaiful Hazizy berkata, ia merupakan satu keputusan penting dalam hidupnya, karier mahupun perancangan masa depan.
“Kali ini saya memilih untuk tidak berada dalam zon selesa, saya pilih jalan berliku yang dipenuhi onak mencabar. Insya-ALLAH saya akan terus tawakal, berusaha dan berdoa agar diberikan petunjuk dan panduan,” katanya.
Menurutnya lagi, berbekalkan pengalaman dalam parti itu, beliau yakin dapat menyumbang dengan lebih efektif untuk memantapkan lagi UMNO, menerusi idea lebih segar dan praktikal.
“Saya juga ingin melihat parti menghayati keperluan untuk bina semula UMNO, perlu ada perubahan untuk mengubah pendekatan dan gerak kerja,” ujarnya.
Difahamkan, selain Shaiful Hazizy yang pertama kali bertanding, tiga lagi pimpinan UMNO Kedah turut memeriahkan kembali pemilihan bagi merebut jawatan MKT kali ini.
Mereka ialah Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob serta Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.
Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad memaklumkan menerima 24 pencalonan untuk jawatan MKT UMNO menjelang hari terakhir pencalonan Ahad ini.
Walaupun hanya berbaki kurang seminggu pemilihan akan diadakan, masih belum ada individu tampil menawarkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden sehingga kini.
Setakat Isnin, seramai 111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pertandingan di peringkat MKT UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!