Tengku Zafrul mahu tarik profesional bumiputera bersama UMNO
KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhasrat mahu menarik golongan profesional bumiputera untuk bersama UMNO.
Beliau yang baru sahaja dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengakui pernah terbabit dengan mengasaskan beberapa pertubuhan yang telah menarik ramai ahli profesional.
“Saya percaya untuk golongan profesional memilih UMNO, antara faktor penarik adalah wujudnya peluang untuk mereka aktif dan menyumbang dalam parti.
“Hasrat saya adalah untuk berkerjasama dengan kepimpinan UMNO dan membuktikan bahawa fokus utama UMNO adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dalam realiti baharu kerjasama politik hari ini, banyak cabaran yang UMNO akan hadapi.
“Saya bersedia menyumbang usaha untuk membantu UMNO menghadapi cabaran-cabaran tersebut," jelasnya
Tambahnya lagi, sebagai ahli UMNO sejak tahun 1998, beliau berharap pembabitannya dalam kepimpinan UMNO kali ini boleh menyumbang kepada pencapaian aspirasi UMNO seterusnya.
Jelasnya, kebanyakan kemajuan dan keamanan yang dikecapi oleh Malaysia adalah hasil dasar-dasar UMNO-BN sejak sebelum merdeka lagi.
“Saya sendiri merupakan salah seorang pemanfaat dasar-dasar tersebut, sehingga saya dapat membangunkan sebuah karier yang bermakna di sektor korporat, sebelum menyambung kerjaya di sektor awam,” ujarnya.
Tengku Zafrul sebelum itu menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan MKT pada 14 Februari dan kemudian dilantik dan mengangkat sumpah sebagai MKT pada mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' On pada 16 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!