Penganggur ugut tetak ibu guna sabit
KOTA BHARU - Gara-gara ayam yang digoreng masih mentah, seorang penganggur sanggup mengugut untuk menetak ibunya dengan menggunakan sabit.
Perlakuan Mohd Helmi Mohamed, 33, itu bagaimanapun dibalas dengan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Majistret Kamarul Hasyime Rosli asalnya mengenakan denda RM6,000 selepas lelaki terbabit mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Dia bagaimanapun gagal menjelaskan denda itu, seterusnya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di sebuah rumah di Kampung Cherang di sini pada jam 5 petang, 14 April 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian lalu, tertuduh yang baru bangun daripada tidur mengamuk selepas ayam goreng yang dimakannya masih mentah.
Tertuduh membuang ayam itu dan mengugut mahu menetak ibunya dengan sabit selain turut memaki hamun wanita itu.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Gayathri Sambath bagaimanapun memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!