Insurans Rahmah wajar, manfaatkan lebih ramai rakyat

Sivakumar
Sivakumar
A
A
A

SHAH ALAM - Perlindungan takaful dan insurans mampu milik atau Insurans Rahmah serendah RM50 wajar dilaksanakan kerana dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, beliau menyokong saranan tersebut malah berpendapat, ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Katanya, perlindungan insurans itu perlu digalakan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia.

"Cadangan Insurans Rahmah ini sangat bagus dan bersesuaian untuk membantu rakyat. Sepatutnya lebih banyak program seperti ini dilaksanakan.

"Saya juga minta rakyat Malaysia beri perhatian dan mengambil peluang agar sentiasa dilindungi di bawah skim insurans seperti ini," katanya ketika sidang media pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada seorang pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang terpaksa dipotong kaki kirinya.

Antara bantuan yang diterima adalah kaki palsu, kerusi roda, surat tawaran menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak dan surat tawaran untuk penyertaan dalam program Return to Work.

Sinar Harian melaporkan, kerajaan akan mempertimbang saranan supaya golongan belia diberikan perlindungan takaful dan insurans mampu milik atau Insurans Rahmah serendah RM50 dengan manfaat lebih kompetitif bagi memastikan keselamatan dan kebajikan golongan itu dilindungi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, saranan itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu memperluas inisiatif Rahmah kepada sektor perbankan dan insurans.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!