Filipina lancar 'operasi paling berisiko'
MANILA - Pasukan penyelamat Filipina mula mendaki gunung berapi aktif pada Selasa di bawah 'operasi paling berisiko' untuk mendapatkan bangkai pesawat ringan yang terhempas pada akhir minggu lalu.
Misi tersebut dilancarkan selepas penyiasat penerbangan awam yang melakukan tinjauan di lokasi berkenaan mengesahkan penemuan pesawat Cessna 340 tersebut yang dilaporkan hilang setelah berlepas dari Lapangan Terbang Bicol di wilayah tengah Albay yang terletak beberapa kilometer dari gunung berapi Mayon.
Sehingga kini, nasib kesemua empat penumpang termasuk dua warga Australia masih tidak diketahui.
Operasi mencabar itu bagaimanapun berdepan kesukaran akibat cuaca buruk selain risiko jika berlaku letusan secara tiba-tiba.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) memberitahu bangkai pesawat itu dikesan di bahagian barat Mayon yang berketinggian kira-kira 1,070 hingga 1,200 meter dari paras laut.
"Kamera beresolusi tinggi telah digunakan untuk mengenal pasti objek tersebut," kata jurucakapnya, Eric Apolonio.
Difahamkan, usaha untuk menghantar pasukan penyelamat ke lokasi itu dengan menggunakan helikopter terpaksa dibatalkan susulan angin kencang dan litupan awan tebal.
"Misi tersebut perlu dilakukan dengan cara mendaki walaupun ia sangat berbahaya jika berlaku letusan wap atau runtuhan batu yang tidak dijangka," ujar jurucakap pasukan tersebut yang juga disertai pendaki veteran dan kesemua mereka dijangka tiba di lokasi nahas itu pada Rabu.
Mayon merupakan gunung berapi paling aktif di Manila dan kali terakhir ia meletus adalah pada 2018 dan turut memuntahkan debu tebal dan aliran lahar panas. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!