Pembuat bom maut insiden berbalas tembakan di Yala

Seorang pembuat bom yang juga anggota militan yang aktif di selatan Thailand maut dalam satu insiden berbalas tembakan di Yala, selatan Thailand pada Selasa. - Gambar hiasan
Seorang pembuat bom yang juga anggota militan yang aktif di selatan Thailand maut dalam satu insiden berbalas tembakan di Yala, selatan Thailand pada Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

YALA (Thailand) - Seorang pembuat bom yang juga anggota militan yang aktif di selatan Thailand maut dalam satu insiden berbalas tembakan di Yala, selatan Thailand pada Selasa.

Lelaki berusia 42 tahun itu disyarki terlibat dalam satu serangan bom di Bannang Sata, Yala pada 17 Februari lalu di mana seorang pegawai polis maut manakala empat lagi cedera.

Insiden berbalas tembakan itu berlaku semasa rundingan damai konflik selatan Thailand yang sedang berlangsung di negara jiran Malaysia.

Ketua Polis Daerah Than To, Pol. Kol. Thanapon Yaowapak berkata, bertindak atas maklumat, pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah dipercayai tempat lelaki itu bersembunyi di Kampung Mayo pada kira-kira jam 4.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Beliau berkata, pasukan keselamatan melalui ketua kampung dan imam telah memujuk lelaki itu menyerah diri tetapi usaha itu gagal.

"Lelaki itu cuba melarikan diri dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan. Insiden berbalas tembakan berlaku.

"Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemukan mayat lelaki itu di luar rumah,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Polis mengesahkan lelaki itu merupakan anggota militan yang aktif di kawasan Than To dan Bannang Sata, Yala.

Selain serangan bom pada minggu lepas, lelaki itu pernah terlibat dalam serangan bom di stesen minyak.

Thanapon berkata, polis turut menemui sepucuk pistol bersama lelaki itu.

Sementara itu, pusingan keenam rundingan damai selama dua hari itu di Kuala Lumpur merupakan yang pertama dipengerusikan ketua fasilitator baharu dari Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia berkuat kuasa 1 Januari tahun ini bagi menggantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.

Jeneral Wanlop Rugsanoah mengetuai panel untuk dialog damai di wilayah paling selatan di Thailand (PEDP) manakala Anas Abdulrahman mengetuai delegasi Barisan Revolusi Nasional (BRN), iaitu kumpulan paling berpengaruh di selatan negara itu.

Rundingan kali ini menjadi tumpuan kerana Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Prayuth Chan o-cha ketika lawatan rasmi sulungnya ke Bangkok, Thailand pada 9 dan 10 Februari lalu.

Anwar dan Prayuth telah meluangkan banyak masa membincangkan isu selatan Thailand semasa mesyuarat dua hala mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!