Cub Prix 2023: TCPRT buru sasaran lima teratas CP150
TOBAKI Cilik Pink Racing Team (TCPRT) menyasarkan kedudukan kelima teratas kumpulan bagi kelas perdana CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023.
Pemilik TCPRT, Nur Atikah Azwar optimis dengan sasaran itu melihat kepada dua pelumbanya - Harith Farhan dan Afizi Faris yang berpotensi memburu mata pada setiap pusingan musim ini.
"Bagi CP150 untuk kejar podium adalah seperti magik, kami perlu berdepan pasukan berpengalaman, Team Yamaha Petronas, Factory Honda dan lain-lain.
"Jadi untuk kumpulan, kita sasar lima teratas," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pink Racing Team di Petaling Jaya pada malam Isnin.
Nur Atikah memaklumkan, pelumba baharu, Faris Amir pulang bakal menggalas cabaran bersama TCPRT bagi kategori CP150.
Beliau berkata, TCPRT berhadapan kesukaran mendapatkan sumber kewangan untuk terus kekal bersaing musim ini selain berdepan cabaran mencari pelumba terbaik.
"Hanya Harith Farhan yang kekal dalam pasukan kerana beliau menunjukkan usaha yang tinggi walaupun tahun lepas dia kemalangan semasa pusingan kedua sewaktu perlumbaan di Jempol.
"Dia melalui pembedahan yang memerlukan kos yang tinggi, iaitu sebanyak RM70,000, dia tidak menunggang dari bulan Ogos lalu, tapi prestasinya tetap bagus pada awal bulan ini," katanya.
Nur Atikah berkata, barisan pelumba TCPRT bagi kategori CP125 bakal diumumkan pada Jumaat ini.
Kalendar Cub Prix 2023 bakal membuka tirai pada Sabtu ini bermula dengan Pusingan 1 di Sepang (Utara) dan berakhir pada 26 November di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!