Thailand bubar Parlimen pada Mac, pilihan raya 7 Mei
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha akan membubarkan parlimen pada Mac dan pilihan raya mungkin akan diadakan pada 7 Mei.
Ini akan memberi masa yang cukup untuk calon membuat persediaan.
"Saya kata Mac jadi pada Mac, maka sesuailah dengan 7 Mei (merujuk kepada tarikh yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," kata Prayuth kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet pada Selasa.
Penggal penuh empat tahun Dewan Perwakilan akan berakhir pada 23 Mac.
Di bawah perlembagaan, andai Dewan dibubarkan sebelum penggal tamat, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum sekurang-kurangnya 45 hari selepas pembubaran dan tidak boleh melebihi 60 hari.
Bagaimanapun, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 45 hari selepas tamat penggal Dewan pada 23 Mac.
Pada masa ini, ahli politik dan calon pilihan raya sudah pun memulakan kempen mereka.
Mengikut perlembagaan, calon boleh memulakan kempen bermula 24 Sept lepas, 180 hari sebelum penggal kerajaan berakhir.
Sementara itu, Prayuth berhasrat untuk bertanding lagi walaupun had penggal lapan tahunnya sebagai perdana menteri berakhir pada 2025.
Tinjauan pendapat menunjukkan anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra - Paetongtarn menjadi pilihan utama untuk jawatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!