Dakwaan tawar RM10 juta, Mohamad Shafiq mohon maaf kepada SPRM

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim tampil memohon maaf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan terhadap suruhanjaya itu yang kononnya menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Mohamad Shafiq menjelaskan, beliau tidak berniat menuduh mana-mana pihak dan menyifatkannya sebagai 'terlepas cakap' berhubung khabar angin di mahkamah.

"Saya memohon maaf kepada pihak SPRM kerana provokasi politik yang mencetuskan perbalahan dan saya terlepas cakap berkaitan rumors di mahkamah yang kononnya pihak SPRM menawarkan sejumlah wang RM10 juta untuk Datuk Wan Saiful Wan Jan mengubah kenyataannya.

"Saya tidak berniat menuduh mana-mana pihak termasuk Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) di mana video tersebut telah dipotong oleh cybertroopers Pakatan Harapan (PH) dan disebarkan seolah-olah saya hanya menyebut SPRM menawarkan RM10 juta kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Selasa.

Mohamad Shafiq berkata, siaran langsung di TikTok pada petang tadi (Selasa) adalah reaksi kepada fitnah jahat yang dibuat oleh cybertroopers PH.

Katanya, selepas diprovokasi dalam video itu pada ruangan komen, beliau mengatakan ada rumors di mahkamah yang mengatakan pihak SPRM menawarkan RM10 juta untuk Wan Saiful menukarkan kenyataan untuk menganiayai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pihak wartawan telah menghubungi saya dan saya telah menjelaskan ia adalah perang mulut di media sosial.

"Saya turut menyatakan ia adalah rumors dan saya akan mendapatkan kepastian daripada Datuk Wan Saiful," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!