MAFS perkukuh kerjasama dengan M-FICORD
SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) bagi membangunkan industri asas tani negara.
Timbalannya, Chan Foong Hin berkata, kerjasama itu merangkumi perkongsian maklumat data pertanian, pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa dan pemantapan program latihan pertanian serta program Agropreneur Muda.
“Pembangunan industri asas tani bakal menambah nilai eksport didorongi oleh usaha meneroka pasaran antarabangsa, terutamanya Asia Tenggara, selain memperkasa keterjaminan makanan.
“Memahami pentingnya mengangkat autonomi Sarawak, MAFS berharap kerjasama lebih erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak di setiap peringkat dalam membangunkan sektor pertanian dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada hari sama, beliau telah melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord), Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di Kuching.
Menyentuh mengenai pemodenan sektor agromakanan, Foong Hin menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.
“Usaha pemodenan sektor agromakanan adalah pemangkin bagi menarik minat bakat muda menceburi bidang tersebut dan seterusnya menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan di Sarawak,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!