Wujudkan akta campur tangan asing
SHAH ALAM - Kerajaan disaran mewujudkan akta campur tangan asing agar siasatan secara telus boleh dilakukan pihak berkuasa dan agensi kerajaan berhubung isu seperti Pandora Papers.
Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Ab Karim berkata, ramai pakar yang berpendapat bahawa Pandora Papers yang didakwa melibatkan bekas Menteri Kewangan adalah satu usaha campur tangan pihak luar yang mungkin bertujuan merosakkan imej negara melalui media sosial atau laporan media luar negara.
Justeru menurutnya, satu siasatan terperinci perlu dilakukan bagi menjelaskan isu ini kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kita telah mendengar tuduhan ini sejak hampir 20 tahun lepas dan sewajarnya satu siasatan yang terperinci dilaksanakan bagi menjelaskan isu ini kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Tuduhan ini amat memalukan negara tambahan pula individu dituduh itu sudah banyak berjasa kepada negara dan mustahil mereka akan melakukan sesuatu hal yang boleh memudaratkan negara.
“Mungkin juga sudah tiba masanya untuk Parlimen Malaysia membincangkan undang-undang mengekang campur tangan seperti ini dan mewujudkan Foreign Interference Act,” katanya kepada Sinar Harian.
Media melaporkan bekas Menteri Kewangan berusia 80-an yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) itu adalah antara 12 nama dari Malaysia termasuk empat ahli politik yang disebut dalam pendedahan Pandora Papers.
Jais berkata, selain bekas Menteri Kewangan itu, SPRM juga diharap dapat menyiasat semua nama rakyat Malaysia yang dinyatakan dalam Pandora Papers.
Tambahnya, kerajaan sedang berusaha bagi memulihkan negara dan dengan isu pembongkaran Pandora Papers ini bakal memburukkan lagi keadaan terutama ia melibatkan campur tangan dari pihak luar.
“Segala usaha keras yang sedang dibawa dan dilaksanakan oleh kerajaan hari ini pasti akan terjejas dengan kes-kes ini yang secara tiba-tiba muncul.
“Cukuplah dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah menyebabkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan. Malah kes 1MDB ini telah menyebabkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara menanggung malu yang cukup besar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!