Klopp kecewa Liverpool gagal kekal momentum

Klopp - Foto AFP
Klopp - Foto AFP
A
A
A

JURGEN Klopp mengakui kecewa apabila Liverpool gagal mengekalkan momentum selepas tewas 2-5 kepada Real Madrid dalam aksi 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Anfield pada Rabu.

Liverpool mendahului 2-0 dalam tempoh 15 minit pertama, namun Real bangkit dengan lima gol untuk menewaskan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Permulaan kami cemerlang. Ia adalah pasukan kami yang sebenar pada awal separuh masa pertama. Ia sempurna dengan pemain menunjukkan bagaimana cara sebenar kami mahu bermain.

"Selepas kami melepaskan gol pertama, kami menjadi sedikit pasif di atas padang dan tidak mengejar mereka. Kami perlu memastikan Real ditekan kerana apabila menjadi pasif kami akan dihukum.

"Situasi pertama mereka bermain hantaran jauh kepada Vinicius. Saya tidak pasti sama ada ia satu kekasaran, tetapi akhirnya pengadil meniupkan wisel. Bagaimana kami mempertahankan itu tidak cukup baik.

"Kemudian 3-2 dan itu tidak membantu menentang pasukan yang sangat bagus dalam serangan balas," katanya.

Menurut Klopp, selepas gol ketiga itu, Liverpool terus bermain pasif dan terus tenggelam dalam perlawanan tersebut.

"Kami tidak dapat kembali ke landasan lagi. Anda perlu bermain seperti separuh masa pertama selama 95 minit penuh. Itu mungkin, tetapi anda memerlukan momentum kembali. Selepas gol 3-2, ia adalah sebaliknya.

"Mereka menjadi lebih yakin dan menjaringkan gol yang hebat. Kami tewas 5-2, tetapi banyak perkara yang perlu saya teliti daripada perlawanan ini," katanya.

Liverpool akan bertandang ke Madrid untuk perlawanan kedua pada 15 Mac dan sedar bahawa mereka memerlukan keajaiban jika mahu menyingkirkan juara bertahan itu untuk mara ke suku akhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!