MPS roboh penempatan haram PATI di Cyberjaya esok

Laporan Sinar Harian pada 15 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 15 Februari lalu.
A
A
A

SEPANG - Tiada kompromi! Kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina berhampiran Royale Palace dan Tasik Cyberjaya, dekat sini akan dimusnahkan esok.

Majlis Perbandaran Sepang (MPS) berkata, kawasan penempatan PATI yang menjadi tempat berteduh sejak tujuh atau lapan tahun lalu itu akan dirobohkan, sekali gus menghapuskan tempat pelindungan kumpulan warga asing tersebut.

Menurutnya, penempatan PATI di kawasan tersebut agak besar dan luas apabila beberapa buah perkampungan kecil dibina oleh kumpulan parti dari Indonesia.

Katanya, setelah melakukan proses semakan dan pemilikan status tanah di kawasan tersebut, penempatan warga asing tersebut akan dirobohkan pada Khamis.

"Tiada kompromi daripada pihak berkuasa di dalam perkara ini.

"Penempatan ini perlu dimusnah dan dirobohkan supaya ia tidak lagi digunakan sebagai tempat berlindung.

"Operasi pembersihan penempatan ini akan turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan lain," katanya pada Rabu.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama beberapa agensi penguatkuasa lain menyerbu sebuah penempatan PATI di Sepang pada 15 Februari.

Hasil serbuan tersebut,seramai 55 orang PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun berjaya diberkas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 26 orang lelaki dan 29 wanita.

Namun dipercayai kira-kira 40 warga asing lain tanpa dokumen berjaya melarikan diri semasa serbuan awal pagi ke dalam hutan itu.

Kawasan penempatan itu dikelilingi kayu serta kaca yang dipercayai menjadi 'alat pelindung' ahli perkampungan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!