Aura Vinicius tiada tandingan

Vinicius
Vinicius
A
A
A

KARAKTER pemain Real Madrid, Vinicius Jr tidak dapat ditandingi dalam memberi 'kerosakan' kepada lawan, kata pengurusnya, Carlo Ancelotti selepas pemain Brazil itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-2 yang menakjubkan di Liga Juara-Juara di Liverpool pada Rabu.

Liverpool mendahului 2-0 di Anfield, namun dua gol dari Vinicius menyamakan kedudukan sebelum rehat meletakkan asas untuk kemenangan besar pada pusingan pertama Liga Juara-Juara, 16 terakhir.

"Sejujurnya Vinicius adalah pemain paling penentu dalam bola sepak dunia hari ini.

"Tiada pemain memiliki kesinambungan aksi sempurna seperti dibuktikan dalam perlawanan ini. Dia tidak berhenti dan saya harap dia boleh meneruskannya secara konsisten," kata Ancelotti pada sidang akhbar.

Vinicius antara pemain paling penting gergasi Sepanyol itu selepas menjaringkan gol yang menobatkan Real Madrid gelaran Piala Eropah ke-14 dengan rekod kemenangan 1-0 ke atas Liverpool tahun lalu.

Dia adalah pemain dengan percubaan gol terbanyak (28) dan rembatan ke sasaran (15) dalam Liga Juara-Juara musim ini dan merupakan pemain paling banyak dikasari dalam lima liga teratas Eropah (82).

Vinicius menjaringkan dua gol dalam tiga percubaan menentang Liverpool dan - pada usia 22 tahun - sudah pun menjadi penjaring kedua terbanyak menentang kelab Inggeris dalam Liga Juara-Juara dengan lima gol, satu di belakang Karim Benzema, dan di hadapan Didier Drogba (empat) dan Frank Lampard (tiga).

Selepas Liverpool mendahului 2-0 hasil jaringan Darwin Nunez dan Mohamed Salah, Vinicius memacu kebangkitan Real Madrid dengan gol minit ke-21 dan 36, sebelum Eder Militao (47') dan Karim Benzema (55', 67') memastikan bekalan selesa perlawanan timbal balik kedua.

Pada masa sama Ancelotti mengakui Vinicius berjaya mengekalkan tahap konsisten baik dalam saingan domestik dan Eropah.

"Ya, Vinicius berada dalam prestasi terbaik dan sentiasa konsisten itu paling penting.

“Ia adalah kemenangan bersejarah, kebanyakannya kerana jika anda mempertimbangkan di mana kami bermain dan bagaimana kami memulakan permainan, ketinggalan dua gol di belakang.

"Tetapi kami tidak pernah berundur dan bersikap tenang, tidak panik dan kami mengubah permainan yang sangat sukar," katanya.

Selepas menjaringkan 22 gol dengan 20 bantuan pada musim lalu, Vinicius menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan kempen ini dan dinamakan pemain terbaik kejohanan itu di Piala Dunia Kelab pada Januari bagi membantu Real merangkul kejuaraan kelima.

KEPUTUSAN

Liga Juara-Juara

Pusingan 16 Terbaik

Perlawanan Pertama

Liverpool 2-5 Real Madrid

Eintracht Frankfurt 0-2 Napoli

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!