Mekanik tidak mengaku salah miliki pistol
KOTA BHARU - Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas dakwaan memiliki pistol pada 9 Februari lalu.
Tertuduh, Mohamad Khoidhir Mohamad, 30, membuat pengakuan berkenaan di hadapan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Colt’s Caliber automatik berwarna perak yang dijumpai di dalam sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina berwarna hijau di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Belukar Kubur Labok, Machang pada jam 5.30 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan minimum enam kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin manakala 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Dalam kes berkaitan, akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah di sebuah stesen minyak di Air Putih, Kuantan, Pahang pada bulan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!