PM UK pertimbang naik gaji sektor awam untuk tamatkan mogok
MOSCOW - Perdana Menteri UK, Rishi Sunak sedang menimbang untuk menaikan gaji pekerja sektor awam sebanyak 5 peratus bagi menamatkan gelombang mogok susulan rangsangan luar jangka yang diterima oleh Perbendaharaan negara itu sebanyak 30 bilion pound (AS$36.36 bilion), lapor Sputnik memetik laporan Financial Times.
Memo yang dipetik oleh media menyebut bahawa kenaikan gaji 5 peratus untuk penjawat awam pada 2023-2024 mempunyai "risiko rendah" dalam penetapan penanda aras untuk pertumbuhan gaji sektor swasta.
Langkah itu dibuat selepas angka rasmi menunjukkan bahawa pinjaman awam berkemungkinan 30 bilion paun lebih rendah daripada jangkaan disebabkan oleh penerimaan cukai yang tinggi, penurunan harga tenaga dan pelaburan awam yang rendah.
Unjuran baharu kewangan awam itu memberi peluang kepada Sunak untuk menawarkan kenaikan gaji ketika kerajaannya berusaha untuk menamatkan tindakan mogok yang mendominasi politik semasa kepimpinannya.
Media memetik sumber kerajaan sebagai berkata bahawa London sedang mempertimbang kenaikan gaji kira-kira 5 peratus untuk pekerja sektor awam tahun depan selain bayaran terbelakang, walaupun angka itu berada di bawah unjuran inflasi 5.5 peratus untuk tahun depan.
UK menyaksikan beberapa siri mogok oleh penjawat awam sejak beberapa bulan lepas ekoran rasa tidak puas hati terhadap situasi ekonomi yang semakin buruk disebabkan kenaikan harga tenaga dan inflasi yang melambung tinggi.
Pekerja syarikat kereta api, pejabat pos, lapangan terbang dan peguam adalah antara sektor yang menyertai demonstrasi.
Badan penyiar UK Sky News yang memetik data dari Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) negara itu yang berkata jumlah hari bekerja yang hilang akibat pertikaian buruh pada Disember berjumlah 843,000 jam, menjadikan jumlah hari mogok dari Jun hingga Disember 2022 kepada 2,471,000 jam, angka tertinggi sejak 1989.
Pada akhir Januari, ONS berkata jumlah pinjaman awam di UK pada Disember 2022 mencecah 27.4 bilion pound, angka tertinggi pada Disember dalam sejarah UK. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!