Sabotaj curi kabel: MBI serah kepada polis
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes kecurian kabel dan komponen lampu limpah Stadium Perak yang didakwa mempunyai unsur sabotaj.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kejadian itu disifatkan sebagai pelik kerana ia berlaku hampir dengan tarikh aksi pembukaan Liga Super 2023.
"Selama ini tidak pernah berlaku tiba-tiba ada kejadian seperti ini, rasa peliklah namun kita serahkan kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBI yang disaksikan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching di sini pada Rabu.
Rumaizi berkata, kes kecurian itu bagaimanapun tidak menghalang Perak FC untuk beraksi di laman sendiri pada Sabtu ini.
Tambah beliau, pihaknya telah melantik tiga syarikat bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih lampu limpah Stadium Perak.
"Proses pembaikan mencapai 70 peratus hari ini sebelum menjalankan pengujian sistem lampu limpah tersebut pada Khamis.
"Kita sudah berjanji dengan XOX (pemilik Perak FC) untuk menyiapkan pembaikan tersebut sebelum Sabtu ini bagi membolehkan tuan rumah beraksi," katanya.
Sinar Harian melaporkan MBI mengalami kerugian lebih RM135,000 selepas bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dipecah masuk, Selasa minggu lalu.
Kejadian itu disedari ketika MBI menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan Liga Malaysia musim ini.
Hampir keseluruhan kabel telah dipotong dan komponen lampu limpah di bilik High Mast Pole No 3 telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!