31 individu disyaki keldai akaun ditahan
PETALING JAYA - Seramai 31 individu disyaki keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian atau scam di daerah ini ditahan dalam operasi sejak awal Januari hingga 20 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah membuka 29 kertas siasatan melibatkan kerugian RM2.82 juta.
"Kesemua tangkapan ini telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sindiket menyasarkan individu terdesak dan menawarkan upah antara RM200 ke RM2,000 bagi setiap transaksi, yang membuatkan pemilik akaun sanggup menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin kepada penjenayah.
"Mereka menggunakan modus operandi dengan menawarkan iklan di media sosial atau melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu," katanya.
Beliau berkata, pihaknya dapat membezakan mangsa keldai akaun atau individu bersubahat dengan sindiket dengan melihat laporan polis yang pernah dibuat oleh mereka.
"Bagi mangsa keldai akaun, kebiasaannya akan kehilangan kad ATM dan laporan polis akan dibuat untuk melindungi mereka daripada perkara berbangkit di kemudian hari.
"Manakala bagi mereka yang bersubahat dengan sindiket, akaun keldai yang dimiliki mereka biasanya lebih mempunyai hubungan dengan sindiket," katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis jika kehilangan apa sahaja dokumen diri yang penting bagi mengelakkan daripada mana-mana sindiket menggunakan maklumat tersebut untuk aktiviti-aktiviti haram.
"Jangan membenarkan individu lain menggunakan akaun peribadi kita tanpa menyiasat kesahihan alasan yang diberi sekali gus melindungi diri daripada menjadi mangsa keldai akaun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!