Gempa bumi Turkiye: Trauma tinggal di bangunan tinggi
REYHANLI, TURKIYE - Wakil Sinar Harian dan Syria Care yang berada di negara ini bagi menyalurkan misi bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care masih berdepan dengan trauma susulan gempa bumi berukuran 6.4 yang melanda wilayah Hatay pada malam Isnin.
Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein berkata, peristiwa itu masih menghantui mereka memandangkan setiap masa berlaku gegaran susulan di bandar ini.
Sekurang-kurangnya 32 gegaran susulan direkodkan setakat ini, menurut Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye.
"Disebabkan kejadian pada malam Isnin itu dan ditambah dengan gegaran susulan apabila menjelang malam, 11 anggota misi tidak berani lagi tidur di rumah kami di tingkat tiga, bangunan lima tingkat.
"Masuk hari ini, sudah dua malam kami tidur bersama warga Turkiye di pusat pelindungan di sini yang menempatkan hampir 200 orang," kata Muaz kepada Sinar Harian.
AFAD pada Isnin melaporkan dua gempa bumi menggegarkan wilayah Hatay di selatan Turkiye pada Isnin, hanya dua minggu selepas gempa kuat melanda wilayah itu.
AFAD memberitahu, gempa pertama berlaku kira-kira 8.04 malam waktu tempatan (1704GMT) di daerah Defne di Hatay, berukuran 6.4 pada skala Richter manakala satu lagi gempa bermagnitud 5.8 berlaku tiga minit kemudian, berpusat di wilayah Samandag di Hatay.
Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (km) manakala gempa kedua pada kedalaman 7km.
Kedua-dua gegaran turut dirasai di kawasan sekitar, lapor Agensi Anadolu.
Naib Presiden Turki Fuat Oktay pula meminta penduduk di wilayah itu supaya menjauhi bangunan yang rosak ketika pihak berkuasa memeriksa kawasan yang terjejas.
Menteri dalam negeri negara itu berkata sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, masing-masing satu di daerah Antakya, Defne dan Samandag dan 213 yang lain cedera dalam gempa bumi itu.
Sementara itu, seorang warganegara ini, Mohammad Muhsin, 23, berkata, dia sekeluarga mula tinggal di dewan serba guna yang dijadikan tempat perlindungan selama 12 hari, selepas kejadian gempa bumi kuat mengorbankan lebih 40,000 nyawa.
Katanya, dia sekeluarga kembali menetap di dewan tersebut selepas berdepan dengan gempa bumi pada Isnin lalu.
"Biarpun tidak sekuat 6 Februari lalu tetapi gempa bumi pada Isnin lalu tetap menakutkan. Penduduk-penduduk di sini masih trauma.
"Mungkin dalam seminggu kami akan tinggal di sini," katanya.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!