6 nota untuk PM realisasi aspirasi madani berintegriti
SHAH ALAM - Pasukan Rasuah Busters menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi komitmen merealisasikan aspirasi madani berintegriti serta bebas korupsi menerusi tuntutan enam nota pasukan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, enam nota itu merangkumi pelaksanaan pengasingan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan keperluan akta pendanaan politik.
“Nota seterusnya adalah transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) dan reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran Nota Rasuah Busters Kepada PMX di Kumpulan Karangkraf pada Rabu yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian dan Astro Awani 501.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, nota ini memerlukan keseriusan Perdana Menteri melaksanakan reformasi polisi dan perundangan bagi memastikan penyeliaan kewangan,ekonomi dan sosial negara dapat dikawal selia melalui sistem yang lebih adil, efektif dan berkualiti.
“Bermula dengan krisis nilai yang kecil, titik-titik hitam itu kemudiannya memugar menjadi konflik keruntuhan etika dan moral yang akhirnya menjadikan rasuah begitu sistemik dan membudaya.
“Oleh yang demikian, menghentikan kitaran ganas ini turut memerlukan intervensi yang sistemik, strategik dan kolaboratif.
"Enam nota ini adalah keperluan mendesak yang difikirkan amat penting diambil perhatian dan tindakan segera di sepanjang sidang Parlimen yang masih berlangsung,” katanya.
Tegasnya, seluruh rakyat Malaysia bergabung perjuangan di dalam misi bersama dengan menjadikan rasuah sebagai musuh bersama dengan matlamat bersama iaitu menyelamatkan Malaysia daripada rasuah!.
“PM inilah kesungguhan kami #RasuahBusters yang akan terus kritis demi negara, tidak pernah putus asa untuk bersama akar umbi memberikan kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat.
“Dan terus menerus membawa desakan agar pemerintah, wakil-wakil rakyat dan pemegang taruh di negara ini, agar benar-benar mempunyai iltizam yang tinggi untuk menamatkan riwayat rantaian rasuah ini kerana kita tidak lagi mahu melihat siapa pun jua terzalimi maruahnya kerana rasuah dan moral yang keji,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!