Rangka pelan tindakan kawal anjing liar

Sandrea
Sandrea
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedang merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan aduan berkaitan anjing liar hingga mendatangkan kebimbangan dan kecederaan kepada masyarakat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pelan itu melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani masalah haiwan liar lebih holistik.

"Penyelesaian jangka pendek akan diambil dengan memfokuskan dari sudut penguatkuasaan dan kempen kesedaran.

"Bagi jangka panjang pula, kita akan lihat sistem pelesenan yang perlu diperketatkan kerana kita mahu pemilik haiwan peliharaan ini lebih bertanggungjawab.

"Isu ini berpunca daripada pihak yang membela yang mana haiwan mereka dibiarkan atau dibuang merata tempat selepas beranak atau sebagainya," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBI yang diketuai Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai kejadian kanak-kanak perempuan yang cedera selepas bajunya ditarik dua ekor anjing ketika bersiar-siar bersama neneknya di Taman Tawas Mewah di sini, baru-baru ini.

Menurut Sandrea, menerusi pelan itu, beliau berharap isu anjing liar dapat diselesaikan.

"Kerajaan negeri memandang serius dengan aduan daripada rakyat berkaitan anjing liar ini.

"Kita memerlukan kerjasama menyeluruh bukan sahaja PBT tetapi NGO dalam menggerakkan kempen pemandulan dan lepaskan bagi mengawal populasi haiwan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!