'Kalau ada rezeki ke suku akhir ACL'
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim ini.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, sasaran tersebut dilihat realistik selain turut menanam impian untuk mara sehingga ke peringkat suku akhir.
"Untuk ACL pula, kami harap kami dapat lepas peringkat kumpulan kerana saya tetap realistik dalam ACL ini berdasarkan kualiti pasukan lain yang bertanding.
"Mereka telah 'established' lebih lama daripada JDT, manakala kami tetap projek yang lebih muda dan lebih baharu. Jadi, sasaran realistik lepas peringkat kumpulan atau kalau ada rezeki saya harap kita dapat masuk suku akhir," kata Tunku Ismail menerusi klip video di Facebook Johor Southern Tigers, pada Selasa.
Untuk saingan ACL musim lalu, JDT melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik sebelum tewas di tangan pasukan dari Jepun, Urawa Red Diamonds.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menyasarkan JDT berada dalam kedudukan tiga terbaik Liga Super.
"Macam biasa top 3 kerana kami berharap dapat main di Asia. Jadi top 3 dalam liga. Piala FA pula saya harap kami dapat masuk suku akhir.
"Piala Malaysia pula, kami ada strategi yang lain dengan letak lebih ramai pemain muda untuk memberikan mereka minit permainan dan pengalaman.
"Jadi, Piala Malaysia saya harap dapat masuk suku akhir atau separuh akhir tetapi dengan barisan pemain kami yang muda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!