Al-Awfar versi baharu, tawar ganjaran RM15 juta setahun

A
A
A

[KEMAS KINI] PELABURAN inovatif berasaskan konsep Mudarabah, Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), Al-Awfar akan diberi nafas baharu dengan pelancaran versi serta cabutan baharu Al-Awfar sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Bank Islam Julai ini.

Al-Awfar merupakan akaun pelaburan inovatif berasaskan konsep mudarabah yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi pelbagai hadiah wang tunai dan ganjaran menarik yang bernilai lebih RM15 juta setahun.

Ketua Pegawai Perniagaan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram berkata, setelah 14 tahun berada di pasaran, Al-Awfar menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan merekodkan dana berjumlah lebih RM5 bilion menerusi 1.02 juta akaun.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pelanggan yang menyokong dan mempercayai Bank Islam dalam menguruskan kepentingan kewangan mereka dan akaun Al-Awfar ini menzahirkan penghargaan kami atas kesetiaan pelanggan," katanya.



Mizan berkata sedemikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah akaun Al-Awfar kepada sembilan pemenang di sebuah hotel terkemuka di ibu negara di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff. Pemenang hadiah cabutan utama RM1 juta bagi cabutan jutawan Al-Awfar 2022 dimenangi oleh Mohamad Idrus Ismail, 63, dari Alor Setar, Kedah, manakala lima pemenang cabutan khas masing-masing memandu pulang kereta mewah BMW 320i dan empat buah Honda CR-V.

Selain itu, seorang pemenang kategori Junior Grand Prize dihadiahkan sebuah Macbook Pro dan dua pemenang utama bagi Cabutan Bulanan dan Cabutan Jom Pindah Gaji masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM100,000 dan RM50,000.

Dalam pada itu, Mizan menjelaskan sejak tahun 2009, seramai 38 orang pelanggan telah menerima gelaran Jutawan Al- Awfar dengan meraih hadiah utama bernilai RM1 juta setiap seorang.

Selain itu, menurutnya, mulai 2019, Bank Islam telah meningkatkan ganjaran kemenangan peluang kepada lebih 10,000 pelanggan bernilai lebih RM15 juta setahun dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk kereta, pakej umrah atau percutian, wang tunai dan gajet.

Beliau turut menjelaskan Al-Awfar merekodkan pertumbuhan sebanyak 77 peratus yang melibatkan RM2 bilion sejak penstrukturannya pada tahun 2019.

"Melihat kepada pertumbuhan tersebut dan sejajar dengan peredaran masa serta perkembangan teknologi, Al-Awtar akan diberi nafas baharu.

"Insya-ALLAH, penstrukturan dan cabutan baharu Al-Awtar akan dilancarkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Bank Islam pada Julai ini" katanya.

Sebagai usaha untuk mengelakkan penipuan atau scam, Bank Islam akan menghebahkan senarai nama pemenang bertuah cabutan Al-Awfar melalui akaun rasmi Facebook Bank Islam dan laman web Bank Islam di www.bankislam.com.

Selain itu, wakil dari cawangan berhampiran dengan pemenang akan menghubungi individu yang terpilih.

Maklumat lanjut berkenaan akaun Al-Awfar dan cara-cara untuk menjadi salah seorang pemenang hadiah utama bernilai RM1 juta boleh dirujuk di laman sesawang Bank Islam, www.bankislam.com dan laman media sosial rasmi Bank Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!