Hibah lebih mudah dengan aplikasi atas talian
SYARIKAT Wasiyyah Shoppe Berhad (WSB) memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu iaitu UsraHDD bagi melaksanakan akad dan penyimpanan dokumen hibah secara atas talian.
Ketua pegawai eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, menerusi aplikasi tersebut, ia dapat memudahkan pemberi dan penerima untuk berurusan sekiranya terdapat kekangan masa serta jarak.
"Mereka boleh berada di mana sahaja lokasi di seluruh dunia yang mempunyai capaian internet.
"Akad hibah boleh dilaksanakan secara waktu sebenar (real-time) melalui telefon pintar dengan tempoh selama lebih kurang 15 minit sahaja," kata beliau semasa sidang media majlis pelancarannya pada Rabu di Hotel Avante, di sini.
Ariffin menambah, idea untuk membangunkan sistem berkenaan tercetus semenjak ekonomi dunia berubah akibat pandemik Covid-19.
"Sebelum pandemik, kedua-dua pihak (pemberi dan penerima) yang ingin melaksanakan akad perlu bertemu dalam satu majlis, namun ketika Perintah Kawalan dan Pengurusan (PKP), ia tidak dapat dilaksanakan.
"Oleh yang demikian, setelah mengenal pasti faktor kekangan jarak, penjagaan kesihatan awam, mobiliti manusia dan trend digitalisasi global, sistem ini dibangunkan bagi mengatasi semua cabaran tersebut," jelasnya.
Beliau bagaimanapun menyatakan pihaknya masih menyediakan khidmat pengurusan hibah secara fizikal sebagai alternatif sekiranya terdapat individu yang masih belum berupaya menggunakan aplikasi itu terutama warga emas.
Ujarnya, aplikasi tersebut dibangunkan kerana ketika ini sudah ramai generasi muda yang terlibat dalam pengurusan hibah.
"Dari 2015 hingga kini, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada pelanggan kami bagi pengurusan hibah adalah individu berumur 55 tahun ke bawah dan mereka ini rata-ratanya menggunakan teknologi telefon pintar bagi pelbagai urusan.
"Jadi, kami kira masanya amat tepat untuk memperkenalkan aplikasi ini," ulas Ariffin.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala urusan dan dokumentasi di dalamnya adalah selamat serta dilindungi daripada sebarang serangan siber.
Jelasnya, pengguna hanya dikenakan sedikit bayaran berjumlah RM1,600 bagi menampung kos perkhidmatan menampung data di aplikasi tersebut.
"Pelanggan boleh membuat bayaran secara terus atau ansuran dalam tempoh lima tahun," ujar Ariffin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!