Pemilihan UMNO: Hasmuni tarik diri, beri laluan kepada Akmal

Hasmuni
Hasmuni
A
A
A

ALOR SETAR - Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan 2023-2026.

Keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh untuk bertanding jawatan berkenaan.

Susulan penarikan diri itu juga, Hasmuni mengumumkan telah menawarkan diri bagi bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya mengambil pendekatan untuk berjiwa besar dan tidak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, daripada pemerhatian saya Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka adalah calon paling sesuai menjawat jawatan itu,” katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, biarpun sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan terbabit namun memutuskan untuk menyerahkan kepada Akmal bagi mencalonkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin diyakini calon paling layak menduduki jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Saya melihat adanya sentimen kuat mahukan calon kalangan berumur 40 tahun ke bawah, malah beliau pula merupakan seorang wakil rakyat,” ujarnya.

Pada 10 Februari, Hasmuni yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu itu telah menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sementara Akmal sebagai calon Setiausaha Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini.

Dalam sidang media berkenaan, Hasmuni turut memperkenalkan pasukannya yang dianggotai beberapa individu untuk bertanding jawatan lain pada pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 dibuka bermula 13 sehingga 26 Februari di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi pemilihan jawatan di peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli MKT UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!