Israk Mikraj: Bukti kepentingan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis, di sinilah terikatnya roh dan jiwa para nabi dan rasul, begitu juga para sahabat (sebagai kiblat pertama Islam).
Baitul Maqdis, di sinilah terikatnya roh dan jiwa para nabi dan rasul, begitu juga para sahabat (sebagai kiblat pertama Islam).
A
A
A

Sambutan Israk Mikraj pada 18 Februari 2023 bersamaan 27 Rejab 1444H adalah satu peristiwa penting bagi umat Islam. Peristiwa paling agung dalam sejarah Islam ini, dianggap sebagai satu anugerah daripada ALLAH SWT.

Israk Mikraj memperlihatkan bahawa kekuasaan ALLAH SWT mengatasi peraturan kebiasaan alam. Bayangkan, perjalanan yang biasanya memakan tempoh sebulan pergi dan sebulan pulang, hanya berlaku pada waktu separuh malam sahaja. Israk Mikraj bukan sahaja membuktikan kuasa ALLAH SWT, tetapi turut menjadi bukti kepentingan Baitul Maqdis.

ALLAH SWT merakamkan kisah Israk dan Mikraj dalam al-Quran, dalam dua surah yang berlainan, iaitu surah al-Isra’ dan surah al-Najm. Surah al-Isra’ menceritakan tentang peristiwa Israk:

Maksudnya: “Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jugalah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra’ 17:1)

Menariknya tentang Masjid al-Aqsa dan Israk Mikraj menerusi ayat pertama surah al-Isra’, masjid yang menyaksikan peristiwa bersejarah dalam hidup Nabi Muhammad SAW merupakan pusat barakah berdasarkan perkataan ‘sekelilingnya’.

Jika kita teliti semula pengertian Israk Mikraj, ia membawa maksud dua perjalanan Nabi Muhammad SAW. Israk merupakan perjalanan peringkat pertama di bumi, bermula dari Mekah ke Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis). Manakala Mikraj adalah perjalanan peringkat kedua iaitu bermula dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Pernah tak kita terfikir, mengapa Rasulullah tidak dijalankan dari Masjid al-Haram terus ke Sidratul Muntaha?

Baitul Maqdis merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam yang perlu dipertahankan.
Baitul Maqdis merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam yang perlu dipertahankan.

Baitul Maqdis dijadikan sebagai persinggahan kerana ALLAH SWT mahu menunjukkan kepentingan Baitul Maqdis kepada umat. Di sinilah terikatnya roh dan jiwa para nabi dan rasul, begitu juga para sahabat (sebagai kiblat pertama Islam).

Peristiwa ini juga sebagai hadiah untuk menggembirakan Rasulullah SAW kerana ketika itu merupakan Tahun Kesedihan Rasulullah di mana baginda kehilangan isteri dan bapa saudara yang tercinta iaitu, Abu Talib dan isterinya, Khadijah RA.

Tidak cukup dengan itu, ketika Rasulullah SAW ke Thaif untuk berdakwah, kehadirannya disambut dengan makian dan batu-batu yang dilontar ke arahnya sehingga kaki Baginda berdarah.

Kesedihan demi kesedihan yang dialami Rasulullah SAW begitu meruntun jiwa Baginda. Sehingga akhirnya, Baginda mengadu kepada ALLAH SWT dalam doanya agar diberikan kemudahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian.

Seperti kita juga, jika berlaku perkara yang tidak diingini, kita sedih dan jatuh. Apabila berlaku situasi itu, kita juga mengambil inisiatif untuk pergi berjalan-jalan menenangkan diri. Bak kata orang zaman sekarang ‘healing’. Maka, samalah seperti Rasulullah SAW yang memerlukan ketenangan, maka ALLAH SWT hadiahkan kepada Baginda perjalanan ini.

Perjalanan Israk ini juga menjadi ‘turning point’ kepada umat Islam kerana di sinilah perhimpunan Nabi Muhammad SAW bersama para nabi dan rasul berlaku. Perhimpunan itu menjadi simbolik kerana telah berlakunya penyerahan tampuk kepimpinan ummah dan seruan dakwah. Di sinilah bermulanya seruan kepada pembebasan Baitul Maqdis.

Kesimpulannya, banyak pengajaran penting yang perlu kita perhatikan melalui peristiwa agung ini di samping ia membuktikan bahawa isu Baitul Maqdis ini penting kepada umat Islam.

No Image Caption

Bagaimana kita sebagai umat Islam boleh membantu kepada pembebasan Palestin?

Kami di Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang ingin membantu rakyat Palestin secara berterusan melalui kempen Istiqamah4Gaza. Layari: istiqamah4gaza.com/bebaspalestin sekarang untuk daftar sumbangan secara berterusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!