Tiada unsur sabotaj insiden curi kabel Stadium Perak - Polis
IPOH - Siasatan polis berhubung kes kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak, Selasa minggu lalu tidak mempunyai unsur sabotaj.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan bagaimanapun masih diteruskan dengan menghantar sampel barangan kes ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
"Siasatan masih lagi diteruskan dan rakaman percakapan telah dilakukan terhadap beberapa saksi.
"Pemeriksaan terhadap premis barang-barang lusuh turut dijalankan untuk tindakan lanjut. Siasatan setakat ini, tiada unsur sabotaj," katanya pada Rabu.
Media melaporkan kejadian itu bukan kes kecurian biasa sebaliknya dipercayai ada usaha untuk mensabotaj Perak FC.
Unsur sabotaj itu timbul selepas terdapat keraguan berhubung kejadian tersebut termasuk barang-barang yang dicuri dalam kejadian terlalu sedikit.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan kejadian itu menyebabkan pihaknya mengalami kerugian sebanyak RM135,000 dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan.
Perak FC menjadi tuan rumah dalam aksi pembukaan Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC) di Stadium Perak Sabtu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!