[VIDEO] Pendakwaan bermotifkan politik dendam - Syed Saddiq

Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bermotifkan politik dendam.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika prosiding bela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah wang RM1 juta, salah guna harta RM120,000 dan pengubahan wang haram (AMLA) RM100,000 di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Ketika membaca pernyataan saksi setebal 25 muka surat, Syed Saddiq, 31, selaku saksi pembelaan pertama berkata, keterangan daripada saksi-saksi yang memihak kepadanya telah disembunyikan oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman audio antaranya dengan seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenali Ihsan, ia menunjukkan cara agensi itu mengendalikan siasatan.

“Ia tidak terhad kepada tindakan mengugut saksi-saksi seperti Rafiq, Hidayah dan Hannaan semasa siasatan SPRM.

“Ihsan juga pernah memberitahu saya bahawa SPRM dipergunakan setiap kali berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan negara,” katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Haijan Omar, Syed Saddiq mendakwa, Ihsan memaklumkannya bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mengambil berat terhadapnya.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menyatakan perkara tersebut selepas dirujuk dengan eksibit audio dan transkrip rakaman audio yang dikatakan perbualan di antara beliau dan Ihsan.

Dalam transkrip berkenaan, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq supaya menyokong Muhyiddin kerana bekas Perdana Menteri itu yang membawanya kepada Bersatu.

Rakaman perbualan itu turut mendakwa bahawa Ihsan memaklumkan kepada Syed Saddiq bahawa pihak SPRM menjadi 'alat' apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Semasa soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Syed Saddiq mengesahkan, suara dalam audio berkenaan adalah milik Ihsan.

Wan Shaharuddin: Anda tidak boleh sahkan suara itu milik Ihsan.

Syed Saddiq: Saya boleh sahkan, malah seorang lagi pegawai SPRM dikenali Adib juga boleh beri kepastian berhubung perkara itu.

Wan Shaharuddin: Setuju atau tidak, bahawa dakwaan berhubung politik dendam tiada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi kamu.

Syed Saddiq: Saya tidak bersetuju.

Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini turut menyentuh isu kemasukan wang RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke akaun Maybank miliknya.

Syed Saddiq mengaku telah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali untuk memindahkan wang berkenaan pada 30 Jun 2018.

Ini kerana akaun ABBE telah digunakan untuk mengumpul dana bagi kempennya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bermula Mac hingga Mei 2018.

Bagi tujuan tersebut, bekas Menteri Belia dan Sukan ini berkata, dua program iaitu ‘Makan Amal Muo’ di Muar, Johor dan ‘Fund-Raising Battle for Johor’ di Ampang, Selangor dibuat pada 7 dan 8 April 2018 itu, malah ia berjaya mencapai kutipan sebanyak RM120,000.

“Oleh kerana kedua-dua majlis itu adalah untuk kempen saya sendiri, maka semua kutipan dana adalah milik saya sendiri dan bukannya milik Armada atau Bersatu.

“Saya mempunyai hak untuk menentukan cara dana tersebut dibelanjakan,” kata anak jati Johor Bahru itu.

Sepanjang tempoh berkempen bagi PRU14 bermula 16 April sehingga 8 Mei 2018, beliau mempunyai simpanan tidak kurang RM171,675.

Menurutnya, simpanan itu adalah berasingan daripada RM120,000 yang telah diraih melalui dua program tersebut.

Bekas Naib Presiden Bersatu ini turut mengesahkan, terdapat dua kemasukan wang ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, masing-masing RM50,000 pada 16 dan 19 Jun 2018.

Menurutnya, tiada sebab untuk mengesyaki wang yang dipindahkan itu merupakan hasil daripada aktiviti haram kerana ia diraih daripada kedua-dua majlis untuk kempen PRU14.

Prosiding bersambung Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!