Siasat latar belakang, pengalaman pengasuh
IPOH - Ibu bapa dinasihati agar sentiasa menyiasat dan mengetahui mengenai latar belakang sesorang pengasuh sebelum menyerahkan anak masing-masing di bawah jagaan mereka.
Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata, selain latar belakang, ibu bapa juga berhak untuk mengetahui pengalaman seseorang pengasuh dalam penjagaan bayi/kanak-kanak.
Malah katanya, mereka (ibu bapa) juga boleh menghubungi pihak jabatan kebajikan untuk sebarang info berkaitan pengasuh atau pusat asuhan itu sendiri.
"Perkara ini perlu diberikan perhatian demi mengelakkan perkara yang tidak dingini seperti bayi yang terjatuh ketika memanjat tingkap di rumah pengasuhnya.
"Saya rasa sedih. Saya dah hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dimaklumkan akan jalankan siasatan," katanya pada sidang media sempena Hari Kesihatan Keluarga di AEON Station 18, hari ini.
May Ing berkata demikian bagi mengulas insiden bayi berusia 18 bulan, Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin yang terjatuh ketika memanjat tingkap di rumah pengasuhnya di Kuala Kangsar, semalam.
Muhammad Aidil Amsyar kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar dan disahkan meninggal dunia pada 9.40 pagi ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Kangsar.
Sementara itu, May Ing berkata, siasatan yang dilakukan pakar forensik mendapati punca kematian adalah akibat masalah organ dalaman.
"Tapi atas kes tersebut, menurut laporan bedah siasat ada organ dalaman mangsa rosak sebelum insiden berlaku.
"Kes ini masih dalam siasatan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!