Cadangan turunkan harga cukai jalan perlu kajian menyeluruh

ANTHONY LOKE - Foto Bernama
ANTHONY LOKE - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan menurunkan harga cukai jalan memerlukan kajian menyeluruh memandangkan sebarang keputusan yang diambil akan memberi implikasi kepada kutipan hasil negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kutipan cukai jalan menyumbang kira-kira RM3 bilion kepada hasil kerajaan.

"Kita akan pertimbangkan bagaimana struktur penetapan harga cukai jalan itu dilakukan dan ditetapkan, perlu satu kajian yang menyeluruh untuk melihatnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab celahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung kemungkinan kerajaan menurunkan kadar cukai jalan ketika negara kini berada di fasa pemulihan ekonomi dan rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Dalam pada itu, Loke berkata, MOT juga sedang melakukan kajian dalam mencari struktur terbaik untuk kadar cukai jalan kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, ketika ini, kenderaan EV masih lagi menikmati pelepasan cukai sehingga tahun 2025 dan MOT mengambil ruang masa yang ada untuk melakukan kajian.

"Struktur cukai jalan bagi kenderaan EV ini mestilah selari dengan dasar kerajaan dalam mempromosikan penggunaan kenderaan EV di negara ini. Jadi nak promosikan EV ini, kita kena pelbagaikan insentif, insentif itu kena ada dan yang penting cukai jalan yang dikenakan nanti, mestilah pada kadar yang kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui seluruh ekosistem berkait penggunaan kenderaan EV seperti kemudahan fasiliti pengecasan perlu diperkasa bagi menggalakkan penggunaan EV di negara ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!