Ekonomi negara terkesan jika KDNK suku ke suku terus menurun

Rafizi Ramli ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto: Bernama
Rafizi Ramli ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi menjangka ekonomi negara akan terkesan jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ke suku terus mencatatkan penurunan selain negara menghadapi tekanan ekonomi global yang semakin mencabar, kata menterinya, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, walaupun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun, pertumbuhan KDNK negara mencatatkan penurunan untuk tempoh lima suku tahun berturut-turut.

"Malaysia juga perlu mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin perlahan pada tahun ini. Jika pertumbuhan suku seterusnya kekal menguncup dan lebih perlahan, sudah tentu pertumbuhan pada tahun seterusnya akan ada kesan,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau turut menegaskan bahawa keadaan kewangan kerajaan turut memberi kesan, terutamanya apabila tahap hutang kini berjumlah hampir RM1.5 trilion.

Mengenai kesan Covid-19 kepada pertumbuhan KDNK, Rafizi berkata penurunan secara berturut-turut tidak pernah berlaku walaupun pada waktu kemuncak Covid-19.

"Dalam tempoh pandemik Covid-19, suku pertama dan kedua mencatatkan penurunan namun ia meningkat semula pada suku ketiga,” katanya menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN- Putrajaya).

Berhubung kos sara hidup rakyat, Rafizi berkata, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif pendapatan rakyat pada Ahad ini untuk mengurangkan beban rakyat.

"Kita berharap harga makanan siap untuk menu sarapan dan menu makan tengah hari dapat diturunkan lagi. Kita akan bekerjasama dengan peserta dalam program ini untuk memberi lebih banyak tawaran pada harga yang lebih rendah.

"Itulah yang kita maksudkan apabila pasaran bersama-sama kerajaan, bekerjasama menurunkan harga tanpa perlu subsidi. Ini membolehkan permintaan dan penawaran menurunkan harga makanan siap kepada rakyat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!