Ahli Parlimen PN sertai misi kemanusiaan ke Turkiye, Syria

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor - Foto Bernama
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di dua negara terbabit bermula 2 hingga 7 Mac ini.

Pengerusi PASRelief merangkap Pengerusi Sekretariat Aid4Turkiye&Syria, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, misi ini akan diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man diiringi Pengarah PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah serta tujuh wakil rakyat Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada ahli-ahli Parlimen yang telah menghulur sumbangan wang untuk menjayakan misi ini.

"Ini adalah kumpulan kedua dihantar oleh Sekretariat Aid4Turkiye&Syria daripada empat misi setelah kumpulan yang pertama berlepas ke dua negara terbabit pada 22 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, misi ketiga akan menyusul bermula 6 hingga 11 Mac ini manakala yang keempat dijadualkan pada 17 hingga 22 Mac.

"Sekretariat Aid4Turkiye&Syria dibentuk daripada gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan untuk menguruskan misi bantuan kepada mangsa gempa bumi di dua negara berkenaan bawah naungan PASRelief," katanya.

Muhammad Sanusi menambah, penghantaran misi ini adalah dengan izin rasmi Kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra.

"Semoga ia akan meringankan sedikit beban yang ditanggung saudara kita di sana atas musibah bencana yang mereka lalui," katanya.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!