Pemimpin Malaysia kutuk serangan di Sri Lanka
KUALA LUMPUR - Insiden serangan yang mengorbankan ratusan nyawa di Sri Lanka, mendapat kecaman pemimpin negara ini.
Di laman Twitter, rata-rata pemimpin mengutuk kejadian serangan yang turut menyasarkan rumah ibadat penganut agama Kristian itu.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ia sebagai tragedi yang dahsyat dan tidak masuk akal.
"Sokongan kami bersama kerajaan (Sri Lanka) untuk membawa dalang ke muka pengadilan," katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tiada tempat untuk keganasan di dunia ini.
"Dalang di sebalik serangan harus dibawa ke muka pengadilan segera!" katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, keganasan tidak mempunyai kepercayaan dan warna.
"Serangan yang menakutkan dan tidak berperikemanusiaan ini mesti dikutuk oleh semua orang. Kepada kawan-kawan saya di Sri Lanka, doa saya bersama anda. Kemanusiaan mesti mengatasi keganasan," katanya.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari turut mengecam insiden tersebut yang telah mencemarkan sambutan perayaan orang Kristian.
"Fikiran dan doa saya bersama keluarga mangsa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Puluhan maut dalam letupan di Sri Lanka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!