Cerita dalam kain dan sondol menyondol
SEJAK sebulan lepas kita asyik dihidangkan dengan cerita sensasi rumah tangga beberapa selebriti atau public figure.
Macam-macam kenyataan keluar terutamanya daripada mulut si isteri mahupun madunya, sampai ada cerita dalam kain pun nak didedahkan.
Malah, lebih panas lagi ada yang sanggup berkonfrontasi secara fizikal dengan madu semata-mata atas alasan remeh seperti sindir-menyindir.
Mungkin mereka bertindak seperti itu untuk dapatkan perhatian dan kononnya dia yang jadi mangsa dalam krisis rumah tangga.
Macam Merak Jalanan sendiri kalau nak cerita pasal aib kecil ahli keluarga macam suami tidur berdengkur pun rasa malu dan tak sampai hati.
Tapi ada pula isteri yang sanggup buka macam-macam cerita sampai buruk nama suami semata-mata tak puas hati dengan si suami dan madunya.
Bukankah kalau ikut Islam, seorang isteri haram membuka cerita aib suami dan haram menjaja cerita rumah tangga merata-rata. Walau marah macam mana sekalipun, hukum ALLAH tetap kena patuh.
Bukannya suami awak buat perkara-perkara maksiat dan haram, cuma dia kahwin lagi seorang saja. Jadi kenapa perlu nak meroyan sampai satu dunia tahu cerita dalam rumah tangga sendiri?
Itu cerita dalam kain, selepas itu timbul pula istilah sondol menyondol yang direka oleh netizen rentetan daripada kisah rumah tangga berantakan. Label sondol ini dicap pada perempuan yang jadi isteri kedua kepada si suami dan kononnya perampas suami orang.
Istilah itu wujud bila kita sendiri tak faham tentang maksud sebenar perampas dan juga hidup bermadu. Si suami kahwin secara sah dan ikut syarak dengan isteri kedua, malah dia tak ceraikan pun isteri pertama semata-mata nak kahwin lain. Itu bukan perampas atau sondol menyondol.
Lainlah kalau si suami pergi ceraikan isteri pertama sebab nak kahwin dengan wanita lain sampai hancur rumah tangga pertama. Barulah layak dikatakan perampas suami orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!