Gempa bumi Turkiye: 'Saya rasa seperti hari kiamat'

Irfan bersama isteri dan dua anaknya yang menerima sumbangan kewangan dari Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kini menetap di rumah keluarganya di Reyhanli selepas kediaman mereka di Antakya musnah dalam tragedi gempa bumi Turkiye pada 6 Februari lalu.
Irfan bersama isteri dan dua anaknya yang menerima sumbangan kewangan dari Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kini menetap di rumah keluarganya di Reyhanli selepas kediaman mereka di Antakya musnah dalam tragedi gempa bumi Turkiye pada 6 Februari lalu.
A
A
A

REYHANLI, TURKIYE - [DIKEMAS KINI] Peristiwa gempa bumi yang menggegarkan negara ini pada 6 Februari lalu ternyata menjadi mimpi ngeri buat sebuah keluarga yang menetap di Antakya.

Irfan Ustikin, 37, yang merupakan warga Turkiye berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dia bersama isteri, Fatmanur Ibrahim, 34, dan dua anak berumur 3 serta setahun sedang tidur di dalam bilik di rumahnya di tingkat enam, bangunan setinggi lapan tingkat.

Dalam sekelip mata katanya, gegaran itu terus menyebabkan bangunan kediamannya runtuh, tanpa sempat mereka membuat sebarang tindakan.

"Kami ketika itu di atas katil dan secara tiba-tiba lantai, dinding dan siling runtuh. Ketika itu kami tidak sempat menyelamatkan diri.

"Mujur runtuhan siling di bahagian atas tidak menimpa kami sekeluarga. Hanya bahagian dinding menimpa kaki saya" katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah bapanya di bandar ini.

Impak kejadian itu menyebabkan kaki kanan Irfan patah.

"Saya rasa ketika itu seperti dunia sedang kiamat. Itu sahaja yang saya dapat gambarkan," katanya.

Dalam tragedi itu, pihak berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye melaporkan, mangsa korban gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter dilaporkan dari wilayah selatan Kahramanmaras, Adana, Adıyaman, Osmaniye, Hatay, Kilis dan Malatya dan tenggara Sanliurfa, Diyarbakir, dan Gaziantep.

Keluarga Irfan berkongsikan keadaan rumah mereka di Antakya yang musnah dalam tragedi gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.
Keluarga Irfan berkongsikan keadaan rumah mereka di Antakya yang musnah dalam tragedi gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Setakat Rabu, sekurang-kurangnya 42,310 orang terbunuh dan lebih 13 juta penduduk kehilangan tempat tinggal termasuk sebahagian daripada 3.5 juta pelarian Syria yang menetap di negara ini.

Gempa itu disebut-sebut sebagai yang terbesar dalam 100 tahun terakhir sejak 1939.

Irfan menambah, dia bersyukur dapat menyelamatkan diri melalui celahan-celahan selepas lebih lima jam terperangkap.

"Kami terpaksa bertahan dahulu kerana risau sekiranya kami bertindak terburu-buru, ruang sempit yang menyelamatkan kami akan runtuh.

"Apa-apa pun saya bersyukur kerana anak dan isteri selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kenderaan Irfan turut musnah selepas ditimpa runtuhan bangunan dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu.
Kenderaan Irfan turut musnah selepas ditimpa runtuhan bangunan dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu.

Pun begitu kata Irfan, dia tetap sedih kerana semua jirannya yang tinggal di dalam kediaman sama telah terkorban.

Sementar itu Fatmanur berkata, ketika kejadian itu, dia melindungi anak keduanya manakala anak sulung berada di bawah badan suaminya.

Katanya, disebabkan tindakan spontan berkenaan, nyawa kedua-dua anak mereka terselamat.

"Dan Alhamdulillah, kami juga dilindungi. Ketika itu suami tidak mengetahui kakinya telah patah dan tetap berusaha memastikan nyawa kami selamat.

"Ketika diluar, baru dia rasa sakit dan terus di hantar ke hospital," katanya.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!