Tiada doktor dikenakan tindakan tatatertib
SHAH ALAM – Tiada doktor yang akan dikenakan tindakan tatatertib selepas menghadiri sesi townhall yang diadakan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.
Menurut kenyataan KKM, seramai kira-kira 350 orang doktor yang terdiri daripada pegawai perubatan kerajaan menghadiri sesi townhall bersama Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
“Sesi townhall yang dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) ini bertujuan bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada anggota perubatan berhubung pelbagai perkara.
“Sesi ini hanya dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, serta para pegawai dari pejabat masing-masing,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pelbagai isu dibangkitkan dalam sesi tersebut antaranya adalah berkaitan doktor kontrak, penambahbaikan fasiliti kesihatan awam, kekurangan doktor di Jabatan Kecemasan, penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan dan isu-isu teknikal lain.
Menurut KKM, Dr Zaliha sangat menghargai dan menghormati pandangan, maklum balas dan cadangan yang diberi sepanjang perjumpaan selama lebih dua jam.
“Dengan semua cadangan dan maklum balas yang diperolehi, beliau akan berusaha menangani isu-isu berkenaan sama ada dari segi polisi atau teknikal yang melibatkan KKM.
“Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengawai perubatan yang hadir dan memberi komitmen,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!