Nelayan maut, anggota tentera parah motosikal bertembung
MANJUNG - Seorang nelayan maut akibat melecur selepas terbabit nahas dua motosikal di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Pantai Remis dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian itu, Ramli Abdul Hamid, 60, yang menunggang motosikal jenis Yamaha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian turut mengakibatkan seorang anggota tentera berusia 39 tahun yang menunggang motosikal Modenas Kriss parah dengan kesan lecur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Akmal Hussin berkata, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 7.08 pagi.
Menurutnya, laporan awal menyebut, kemalangan melibatkan dua motosikal bertembung mengakibatkan kedua-dua motosikal terbakar.
"Kebakaran menyebabkan dua mangsa masing-masing penunggang motosikal mengalami kesan lecur yang teruk.
"Seorang daripada mereka disahkan maut oleh pegawai perubatan sementara seorang lagi terselamat," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau berkata, anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran dari pam jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.
"Operasi tamat sepenuhnya jam 8.48 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!