Kejayaan Khairul Aming dapat perhatian Dewan Rakyat

Fahmi ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama (Gambar kecil: Khairul Aming)
Fahmi ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama (Gambar kecil: Khairul Aming)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nama selebriti media sosial, Khairul Aming yang juga usahawan muda berjaya disebut di Dewan Rakyat sebagai contoh bagaimana media sosial mampu memberi pengaruh positif bagi meningkatkan lagi sektor ekonomi digital.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sememangnya melihat sosial media memainkan peranan yang sangat penting bukan hanya sebagai media berekspresi tapi juga dalam konteks tersebut.

Justeru menurutnya, kerajaan berhasrat bekerjasama dengan aplikasi media sosial seperti TikTok dan platform jualan dalam talian seperti Shopee bagi memperkasakan penglibatan golongan muda sebagai usahawan digital.

"Ramai dalam kalangan anak-anak muda sekarang melakukan perniagaan dalam talian contohnya salah seorang usahawan muda, Khairul Aming yang telah merekodkan jumlah jualan sambal sebanyak RM21.5 juta dua tahun kebelakangan ini.

"Memang media sosial adalah peluang terbaik untuk memajukan perniagaan. Tapi media sosial kemungkinan boleh disalah gunakan. Sama seperti mana-mana aplikasi yang diwujudkan, baik buruknya bergantung kepada kita," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada (PH-Batu) yang mahu tahu adakah kerajaan ada hasrat untuk beri peluang kepada anak-anak luar bandar untuk menggunakan sosial bandar untuk karya kreatif.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mewujudkan pusat-pusat ekonomi digital yang mampu menjadi pemangkin golongan anak-anak luar bandar meneroka potensi digital.

"Terdapat 911 di seluruh negara yang Insya-ALLAH akan ditambah lagi... jadi saya lihat peluang untuk kita memahami media sosial ini, ada kebaikan untuk pembangunan ekonomi terutamanya ekonomi digital," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!