Gempa bumi Turkiye: Kandungan enam bulan pengubat duka

Banan (kiri) menceritakan kejadian itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki ketika ditemui semasa penyampaian bantuan dari Tabung #BantuanBencara Sinar Harian x Syria Care bagi meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye.
Banan (kiri) menceritakan kejadian itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki ketika ditemui semasa penyampaian bantuan dari Tabung #BantuanBencara Sinar Harian x Syria Care bagi meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye.
A
A
A

REYHANLI - Tiada apa yang dapat digambarkan tentang perasaan seorang wanita yang melihat suami dan dua anak lelakinya terkorban di hadapan mata, dalam kejadian gempa bumi kuat melanda negara itu pada 6 Februari lalu.

Lebih menyayat hati Banan Nasrullah, 34, selama tiga hari, dia terperangkap bersama mayat keluarganya dan lokasi sempit berkeluasan kurang satu meter itu turut dipenuhi dengan darah.

Banan yang merupakan seorang guru ketika dikunjungi di rumah saudaranya di bandar ini gagal menahan air mata ketika menceritakan peristiwa berkenaan.

Ketika kejadian katanya, dia bersama suami, Abdul Aziz Nasrullah, 39, dan anak Walid, 5, serta Najdad, 3, sedang berusaha menyelamatkan diri dari rumah mereka di tingkat empat, bangunan setinggi enam tingkat di Antakya.

Bandar Antakya terletak di wilayah Hatay di selatan Turkiye, yang merupakan antara 10 wilayah terjejas teruk akibat gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) melaporkan wilayah selatan Kahramanmaras, Adana, Adıyaman, Osmaniye, Hatay, Kilis dan Malatya; dan tenggara Sanliurfa, Diyarbakir, serta Gaziantep merupakan kawasan terjejas teruk dalam kejadian gempa bumi berkenaan.

"Ketika cuba melarikan diri, siling batu jatuh menghempap kepala suami dan dua anak saya. Ketika itu saya berada di belakang mereka. Saya lihat semuanya.

"Selang beberapa saat kemudian, lantai rumah kami pula runtuh sehingga mencecah bumi.

"Saya terperangkap di satu sudut dan ketika itu juga mengalir darah keluarga saya, membasahi lokasi itu," kata Banan kepada Sinar Harian.

Selepas tiga hari terperangkap, Banan diselamatkan dan menerima rawatan di hospital selama tiga hari memandangkan dia kini mengandung enam bulan.

"Kandungan ini sahaja yang akan mengubat kedukaan selepas saya kehilangan semua insan yang saya sayang," katanya sambil menjelaskan jenazah kesemua mereka telah dikebumikan di negara kelahiran di Syria.

Bercerita lanjut kata Banan, ketika runtuhan itu, anak jirannya, berusia lima bulan, yang berada di tingkat lima terjatuh ke ruangan lokasi dia terperangkap.

"Sepanjang dua hari itu juga saya menjaga bayi itu. Ibunya turut meninggal dunia.

"Bayi itu juga menjadi sumber kekuatan saya untuk bertahan selepas menyaksikan sendiri kematian suami dan anak-anak," katanya.

Nora Radun
Nora Radun

Sementara itu, ibu mertua Banan, Nora Radun, 79, berkata, dia kehilangan sembilan ahli keluarga dalam kejadian gempa bumi itu.

Selain keluarga Banan, Nora menjelaskan, seorang anak lelaki, seorang menantu perempuan dan empat orang cucunya turut terkorban kerana gagal menyelamatkan diri selepas rumah kediaman mereka, juga di Antakya musnah.

"Ini adalah ujian yang paling berat saya terima. Perasaan ini sangat perit dan saya tidak boleh lupakan peristiwa hitam ini.

"Saya kehilangan sembilan ahli keluarga dalam sekelip mata," katanya.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!