Dua lelaki seludup ketum direman empat hari
KUBANG PASU - Dua lelaki yang ditahan ketika cuba menyeludup daun ketum di Durian Burung, daerah Padang Terap pada Rabu direman selama empat hari bermula Khamis.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nurul Huda Idris di Mahkamah Majistret Jitra di sini dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kerana salah seorang suspek masih menerima rawatan.
Suspek berusia 31 tahun itu cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri dari anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di Mahkamah Majistret, suspek yang berusia 29 tahun tiba kira-kira jam 8.45 pagi diiringi anggota polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Pada Rabu, kedua-dua suspek yang membawa daun ketum itu ditahan selepas cuba melarikan diri dengan sebuah pacuan empat roda.
Pacuan empat roda itu bagaimanapun terbabas ketika dikejar sepasukan pegawai dan anggota tentera kira-kira jam 1 petang.
Menurut Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, pacuan empat roda dengan nombor pendaftaran Thailand itu pada mulanya cuba menghimpit motosikal tentera ketika dikejar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!