Perlu ada peruntukan khusus untuk keselamatan siber

Fahmi menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
Fahmi menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilihat memberi gambaran kementerian itu akan menerima peruntukan khusus dalam Bajet 2023 dalam usaha memperkukuhkan keselamatan siber di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan perkara itu dengan jelas sebaliknya berharap ia akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi perbentangan bajet esok.

"Insya-ALLAH kita harap dapat diumumkan oleh YB Tambun, berhubung penekanan pihak kerajaan tentang aspek keselamatan siber di mana saya lihat ada keperluan bagi agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri mempertimbangkan dan memperuntukan (untuk keselamatan siber) daripada sejumlah yang mungkin ada dari segi belanjawan tahun ini terutamanya (membabitkan) teknologi.

"Ia bagi tujuan keselamatan data dan perlu ada satu penyelarasan dari segi undang-undang," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang mahu tahu apakah tindakan baru yang sedang dan akan dilakukan oleh kementerian bagi meningkatkan tahap keselamatan siber.

Beliau juga berkata, kerajaan sedang meneliti mewujudkan Suruhanjaya Keselamatan Siber bagi menangani isu itu segera.

Jelas beliau, suruhanjaya tersebut misalnya akan merangkumi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia serta badan-badan lain.

"Daripada segi keselamatan data peribadi, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) sedia ada tidak mencukupi dan ini satu perkara yang sedang diteliti untuk memastikan semua pemegang data, tidak kira kerajaan negeri atau pihak swasta memahami bahawa prinsipnya, data adalah khazanah negara yang bukan saja perlu dipertahankan tapi juga diguna pakai dengan selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!