Abang kandung mengaku salah rogol adik hingga lahirkan anak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JELEBU - Seorang remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak di Jempol minggu lalu.

Tertuduh berusia 15 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norshazwani Ishak selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya sendiri pada jam 11 malam hingga 12 tengah malam di antara 21 Jun hingga 30 Jun 2022 di sebuah kediaman di Jempol.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama pada waktu sama di antara 1 September 2022 hingga 10 September 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B ( 1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga serta dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh juga dikehendaki tinggal berasingan dan dilarang menghubungi, mendekati mangsa dengan apa jua cara sekali pun.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Nizam Rafii manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

Mengikut fakta kes, adik kandung tertuduh berusia 14 tahun melahirkan bayi lelaki cukup sifat.

Ketika seorang pegawai perubatan bersama kakitangan klinik kesihatan datang ke rumah, remaja itu berada di atas katil di ruang tamu dan bayi berkenaan berada di dalam besen serta keadaan uri masih bersambung.

Pegawai berkenaan, kemudiannya memotong tali pusat bayi dan membawa ibu dan anak ke klinik kesihatan untuk rawatan sebelum dirujuk ke hospital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!