Allahyarham Mohd Kamal banyak berjasa kepada negara
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarham Profesor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang meninggal dunia pada Khamis.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 80 tahun disebabkan komplikasi berkait rapat dengan prosedur surgeri awal pagi Khamis.
Ucapan itu disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau pada Khamis.
“Tokoh ilmuan yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini banyak menyumbang dan berjasa kepada negara khususnya dalam bidang pendidikan.
“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ialah tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan modal insan.
Mohd Kamal dilahirkan pada tahun 1942 dan mendapat ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965. Beliau menyambung pengajian peringkat sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975.
Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada Februari 2022 dan sebagai Rektor UIAM pada tahun 1999 sehingga 2006.
Beliau turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!