Polis serah kertas siasatan isu replika senjata

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung isu membawa replika senjata ketika persembahan dalam pertandingan perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu pada 17 Februari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) pada Rabu.

"Setakat ini 36 keterangan telah diambil melibatkan penganjur dan peserta program yang terlibat.

"Cadangan pertuduhan ke atas penganjur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Rohaimi, setakat ini sebanyak lima laporan polis diterima berhubung isu tersebut.

Ahad lalu tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki membawa replika berbentuk senjata sambil berarak dalam satu program yang dianjurkan di Setiu, Terengganu.

Tindakan itu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial.

Selain replika senjata yang dipegang peserta yang memakai kostum ala zaman perang, terdapat juga replika sebilah pedang gergasi yang dibawa oleh kenderaan pacuan empat roda.

Difahamkan kesemua replika tersebut adalah antara alatan digunakan dalam pertandingan yang dianjurkan sempena Himpit 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!