RTK: Tiada halangan perundangan, majikan jangan manipulasi
SHAH ALAM - Tiada sebarang halangan daripada aspek perundangan jika kerajaan berhasrat untuk terus melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Bagaimanapun, Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berpandangan, dalam melaksanakan program itu, kerajaan juga perlu memastikan hak dan kepentingan pekerja tempatan tidak diketepikan serta terabai.
“Kita tidak memerlukan pindaan perundangan bagi melaksanakan program ini kerana memang ada usaha berterusan, baik daripada segi polisi dan pelan yang sudah diguna pakai serta dikuatkuasakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Apabila sudah sampai di peringkat perdana menteri dan jemaah kabinet, jika timbul sebarang isu perundangan sekalipun ia boleh diatasi dengan cepat.
“Tapi, saya melihat kerajaan perlu menerangkan matlamat utama program ini kepada rakyat. Mungkin ia bagi situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak, yang mana Malaysia akan dapat tenaga kerja yang diperlukan manakala pekerja asing pula akan mendapat pendapatan serta peluang pekerjaan.
“Apa yang penting, majikan jangan manipulasi polisi dan pelan ini untuk dapat keuntungan hingga menganaktirikan pekerja tempatan. Tujuan program ini untuk memenuhi keperluan, bukan untuk memaksimumkan keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Program RTK diwujudkan bagi menjadikan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak dan tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan menerusi Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.
Tambah Khairil Azmin, Malaysia sememangnya menjadi tumpuan pekerja asing dari negara-negara berdekatan.
“Kerajaan dan majikan perlu memastikan hak pekerja asing dipenuhi dan tidak diabaikan, selari dengan tuntutan undang-undang tempatan dan konvensyen pekerja antarabangsa.
“Bagaimanapun, kita perlu mengimbangi antara hak dan kepentingan warganegara Malaysia dengan hak serta tanggungjawab terhadap pekerja asing,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pekerja tempatan tidak boleh dianaktirikan, walaupun pekerja asing dibawa masuk untuk bekerja di negara ini.
Katanya, tindakan boleh diambil terhadap majikan yang memberhentikan pekerja tempatan bagi menggaji pekerja warga asing.
“Jika ada pekerja tempatan yang diberhentikan, mereka boleh membuat aduan dan majikan boleh dikenakan tindakan. Ini adalah sikap negatif yang menganaktirikan pekerja tempatan dengan menggaji buruh asing untuk menggantikan mereka.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menindas kebajikan pekerja warga tempatan. Tujuan kerajaan membawa masuk pekerja warga asing adalah bagi menampung kekurangan pekerja, bukan untuk memberhentikan pekerja tempatan,” tegas beliau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!