Kerajaan kaji keperluan naikkan tarif air domestik

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk menaikkan tarif air domestik sebagai usaha mengangani isu pembaziran dan penggunaan air secara berlebihan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata, ini kerana penggunaan air di negara ini adalah sangat tinggi sedangkan tarif air sangat rendah.

Justeru menurutnya, usaha mendidik rakyat agar menggunakan air secara berhemah memerlukan masa.

"Mahu tidak mahu ini keputusan yang telah diambil dan dimaklumkan oleh kerajaan sebelum ini juga tentang soal tarif air.

"Jadi bila soal tarif air itu terlalu rendah, ia memberi tekanan kepada syarikat air dan juga melahirkan sikap yang mungkin tidak menghargai air dalam kalangan rakyat kita.

"Tahun lepas telah diluluskan di bawah kerajaan sebelum ini, untuk dinaikkan dulu bukan domestik tarif, dan kemudian peringkat seterusnya mengkaji semula tarif-tarif domestik...itu secara jujur perkara-perkara yang kita kena ambil maklum untuk atasi masalah ini," katanya ketika sesi menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mahu tahu apakah usaha yang boleh dilakukan kementerian itu yang boleh mendidik rakyat mengurangkan penggunaan air tetapi tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Sebelum itu Jimmy Puah membangkitkan isu bekalan air di mana-mana negeri di Malaysia yang tidak mencukupi.

Beliau memetik fakta dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bahawa seorang rakyat Malaysia menggunakan 201 liter air setiap hari iaitu lebih 20 peratus tinggi daripada saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 165 liter sehari.

"Kalau kita banding dengan negara jiran Thailand, penggunaan adalah 193 liter sehari dan di Singapura lagi rendah (151 liter)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!