Motosikal ubah laluan, jururawat peribadi maut tercampak

Keadaan dua buah kenderaan selepas terbabit kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan dekat Kampung Pandan di sini pada Khamis.
Keadaan dua buah kenderaan selepas terbabit kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan dekat Kampung Pandan di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang jururawat peribadi maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran sebuah stesen minyak dekat Kampung Pandan di sini pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa, Norsyahirah Mohd Sufiyatol, 27, beralamat dari Bandar Jengka, Maran disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu SUV jenis Audi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika SUV yang dipandu tukang kayu itu dalam perjalanan dari arah Indera Mahkota menghala ke Kampung Pandan.

"Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mangsa dipercayai keluar dari simpang kiri dan terus mengubah laluan ke lorong kanan.

"SUV yang berada di lorong kanan gagal mengelak motosikal mangsa ekoran jaraknya yang terlalu dekat lalu berlaku perlanggaran," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!