Raja Sara Petra tanding Exco Puteri UMNO
SHAH ALAM - Tekad untuk memastikan UMNO terus kekal relevan dalam politik Malaysia membuatkan Raja Sara Petra terpanggil untuk menawarkan diri bertanding sebagai Exco Puteri UMNO.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Batu itu berkata, UMNO memerlukan Puteri yang kuat untuk menyokong dan mempertahankan parti dalam cabaran yang mendatang.
“Seluruh dunia berada dalam keadaan huru-hara dan ini bermakna Malaysia tidak akan terlepas daripada ketidaktentuan ekonomi dan politik di hadapan kita. Ketika itulah, UMNO akan memainkan peranan untuk menyelamatkan negara daripada bencana yang akan datang.
“Rakyat akan menjadi resah dalam beberapa bulan akan datang, melainkan kita mempunyai formula kemenangan.
“Kerajaan sekarang akan menjadi kerajaan yang singkat, melainkan kita dapat meyakinkan rakyat bahawa UMNO mempunyai kepimpinan kuat yang akan memacu negara ke hadapan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Raja Sara menambah, dia boleh menyumbang dalam memperkuatkan Puteri dalam memastikan UMNO terus kekal relevan dengan politik Malaysia.
Tegasnya, itu adalah tugas dan komitmennya jika terpilih menjadi Exco Puteri UMNO.
“Ada pepatah menyatakan, satu-satunya perkara yang berterusan ialah perubahan.
“Pepatah lain pula berkata, berdiri diam bermakna kita mundur, yang juga bermakna kita perlu sentiasa bergerak untuk maju dan membangun,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!