Polis Indonesia rampas 200kg syabu diseludup dari Malaysia
JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia merampas sejumlah 220 kilogram (kg) syabu yang dipercayai diseludup dari Malaysia dalam serbuan di Sulawesi Selatan dan Aceh.
Ketua Badan Pencegah Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah, Krisno Siregar berkata, dalam satu kenyataan, pihak polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas 15kg syabu dan 705 pil ekstasi dalam serbuan pertama di Kota Parepare, Sulawesi Selatan.
Suspek bertindak menyembunyikan dadah di dalam sebuah beg yang dibawa masuk dari Kalimantan melalui feri, menurut kenyataan itu.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita termasuk rampasan syabu seberat lima kg.
Sementara itu, tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di Bangka Jaya, perairan Aceh Utara pada 15 Februari manakala 200kg syabu turut dijumpai disembunyikan dalam bot nelayan.
Suspek bertindak sebagai pengangkut yang menyeludup dadah ke perairan Aceh menggunakan operasi pemindahan ‘kapal ke kapal’.
"Seorang individu dalam senarai orang yang dikehendaki disyaki dalang kegiatan itu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!